Thursday, August 27, 2009

Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 52 Tahun 2009


Assalammualaikum wbt..

Segala puji dan penuh kesyukuran ke Hadrat Illahi kerana dengan hidayahNya kita rakyat Malaysia masih mampu mengecapi kehidupan yang aman damai walaupun pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita Muhammad SAW, para ahli keluarga baginda, para sahabat dan juga pejuang-pejuang Islam yang telah berjuang mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan kepada alam yang penuh nur ilmu pengetahuan sebagaimana yang kita kecapi pada saat ini.

Bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan. Kita rakyat Malaysia hendaklah berbangga kerana negara kita telah mencapai 52 tahun kemerdekaan. Bukan perkara mudah untuk mencapai kemerdekaan seperti mana kita kecapi pada hari ini.

Erti sebenarnya kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajah tetapi juga dari segi minda, yang mana masyarakat perlu berkembang, bersifat terbuka dan memperkayakan diri dengan nilai-nilai yang baik. Sememangnya kemerdekaan minda ini mempunyai maksud yang besar. Minda merdeka adalah minda yang positif dan sentiasa berfikir, yang dapat mengamalkan cara berfikir di luar kotak dan yang lebih penting ialah BERDIKARI. Semoga seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda masa kini memerdekakan minda dari berfikiran hidup dalam serba kekurangan, kemiskinan dan fikiran yang membuatkan rasa rendah diri. Sesungguhnya, kita generasi muda inilah yang bakal membentuk negara Malaysia ke arah yang lebih maju dan berjaya lagi.

Bagi tahun 2009, "1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" dan logo Sambutan Hari Kemerdekaan ke 52 ( logo di atas) telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 52 pada tahun ini. Sambutan akan diadakan pada 31 Ogos 2009 di Perkarangan Bangunan Parlimen.

Diharap semua ahli-ahli Puteri dapat bersama-sama menghayati dan menghargai kemerdekaan negara Malaysia kita yang tercinta ini. Salam Kemerdekaan Tahun 2009.
...MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA...

1 comment:

Merdeka said...

Bangga dengan semangat PU3 lembah pantai ni..
Tahniah..