Tuesday, September 30, 2008

Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Lembah Pantai ke 7



Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : Sabtu, 8 November 2008
Waktu : 8.30 pagi
Tempat : PWTC, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur

Aturcara : 8.30 pagi Pendaftaran
9.30 pagi Persidangan Perwakilan Puteri

Friday, September 26, 2008

Assalamualaikum,

Tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang mulia. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Airilfitril kepada semua khususnya ahli Puteri Lembah Pantai. Mudah-mudahan Syawal ini akan membawa keberkatan dan menjadikan kita semua insan yang lebih bersyukur dan cemerlang.

Bagi pihak Puteri UMNO Lembah Pantai, saya juga menyusun sepuluh jari memohon ampun & maaf sekiranya ada salah & silap sepanjang kami menunaikan amanah serta tanggungjawab dalam menerajui perjuangan UMNO melalui aktiviti Puteri UMNO Bahagian. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan mengeratkkan silaturrahim sesama kita, disamping memperkuatkan azam, perpaduan dan kerjasama untuk menghadapi cabaran-cabaran yang sedia ada dan dimasa hadapan.

Kepada yang akan balik kampung, behati-hatilah di jalanraya dan semoga selamat tiba ke destinasi yang dituju.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin

Zalina Tan Sri Abdul Halim
Ketua Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai




Monday, September 22, 2008

Halaman Rasmi Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai

Foto: Chinchilla86


YES!! Alhamdulilah, saya mendapat emel 'lampu hijau' dari Ketua Puteri Bahagian untuk mengumumkan Blog ini sebagai BLOG RESMI PUTERI UMNO LEMBAH PANTAI!

Princess Z terpaksa menandatangani 'AKU JANJI' (ye...betul ni, tak tipu). Akhirnya Puan Zalina bersetuju (5 bulan menunggu keputusan dari beliau) untuk menjadikan Blog ini sebagai rangkaian untuk memberi info and berita terkini tentang Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai. Selagi saya tak meRaja Petrakan Blog ini, saya diberi kebenaran dan tanggungjawab untuk menjaga halaman ini. So, rakan-rakan, jangan nakal sangat ye! Kena tarik balik 'lesen' nanti!

Oh, ye...kami telah berpindah ke: http://www.puterilembahpantai.com/ agar nampak lebih rasmi. Welcome to our new home!

Thursday, September 18, 2008

Berakhir Sudah Mesyuarat Cawangan !

Foto: Haani

Tahniah kepada seluruh ahli Puteri Umno Cawangan kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli Parti. Sebanyak 24 Cawangan telah mengadakan persidangan sebagaimana yang telah dijadualkan.

Kepada semua Ketua Puteri Cawangan, sudilah sekiranya menghantar gambar saudari untuk saya siarkan didalam Blog ini. Kalau sudi, sila emel kepada saya. Kalau tak, saya ambik aje mana2 gambar yang sesuai! Takut tak glam aje?!


Saturday, September 13, 2008

Gila Jawatan

Semenjak saya siarkan emel saya, banyak pulak coretan yang telah diterima. Ada yang sesuai, ada pula yang kureng. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menyiarkan hasil karya / buah fikiran / quotes yang dikirim. Harap dapat bersabar lah ye kalau tertunggu-tunggu....



Apa Erti Jawatan Kepada Kita? oleh Selendang Pink, Baju Putih


Assalammualaikum dan selamat sejahtera semua. Entah kenapa pagi ini aku terpanggil untuk menulis sesuatu di sini, padahal berlambak lagi kerja aku yang tak siap lagi. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kena banyak bersabar. Banyak beramal & berfikir. Aku ingin kita kita sama-sama memikirkan "APA ERTI JAWATAN KEPADA KITA". Apa erti jawatan pada anda? Kuasa? Tanggungjawab? Kemasyuran? Kekayaan?

Sahabat semua, pernah tak kita terfikir 'bahawa memegang 'jawatan' itu sebenarnya adalah tanggungjawab yang amat berat. Jawatan itu adalah amanah yang tidak boleh disia-siakan.

Daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya:

“Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberikan kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ustaz aku cakap kita tidak boleh meminta-minta sebarang jawatan pemimpin dan kepimpinan. Bagi aku, ia adalah satu tegahan yang meliputi sesiapa yang bercita-cita atau berhasrat untuk meminta dan memohon apa jenis jawatan sebagai pemimpin. Ustaz cakap, 'amir' itu boleh membawa erti yang luas - Ketua, Sultan, Raja, Hakim, Kadi, Khalifah, Menteri dan sebagainya yang bertindak sebagai pemimpin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Aku bukanlah orang kuat ugama - sekadar cuba untuk mengerjakan yang wajib. Itu pun tak sempurna. Tapi bagi aku, semua orang ada tanggungjawab dalam parti. Ada jawatan atau tidak - semuanya kena jaga hal masing-masing. Kalau Ketua, kenalah jaga kepimpinannya. Seorang suami kenalah bertanggungjawab terhadap keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Isteri pulak bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Ustaz cakap, pembantu kat ofis atau rumah pun kena jaga harta majikannya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.

Haaa....aku ni baru saja dengar kuliah subuh minggu lepas. Memang best lah Ustaz tu. Topik dia psal pemimpin & kepimpinan. Aku langsung tak ngantuk tau! Dia cakap kepimpinan itu tidak digalakkan diminta dan sesiapa yang meminta sebarang jawatan kepimpinan yang mana ia tidak berkemampuan adalah dibenci dalam Islam. Ini adalah kerana seseorang yang tidak berkemampuan akan menyebabkan tanggungjawab yang dipikulnya itu tidak sempurna dan sudah tentu akan menyebabkan kecelakaan terhadap dirinya pada hari kiamat nanti.

Eshhh, takut aku dengar. Aku terfikir tentang politik pulak - nak-nak lagi dengar kat tempat kita ni ada 40 orang yang bertanding AJK Puteri cawangan. Oleh itu, terfikirlah aku bahawa kita kena berhati-hati dengan jawatan kerana kebiasaannya kita akan menilai sesuatu itu baik untuk diri kita tanpa mengkaji tanggungjawab yang besar yang akan kita pikul oleh diri kita nanti.

Janganlah jadikan jawatan kepimpinan itu sebagai satu tempat untuk mencari pengaruh dan publisiti atau material atau untuk kepentingan peribadi. Yang penting, apa yang mesti diinsafi ialah jawatan kepimpinan itu hanya layak diserahkan kepada orang yang berhak.

Bagi aku, dah lama buat perancangan sendiri. Kalau rasa tak mampu untuk menjalankan tanggungjawab dengan betul, janganlah bertanding. Aku sendiri akan tarik diri dari bertanding nanti kerana banyak pulak komitmen. Lagipun, aku jadi bertanding jawatan Perdana Menteri pada tarikh keramat, 16 September. Mak & Ayah aku akan jadi Penasihat aku di Tingkat 4 (Kg.Kerinchi). Adik aku jadi bouncer aku. Bestfren aku kena jaga opis kerana dia lagi lawa dari aku jadi tak boleh bawak kedepan sangat - biar dia jaga fax kat opis.

Monday, September 8, 2008

Kenangi Mereka, Sayangi Mereka


“Perumpamaan orang yang membelanjakan harta ke jalan Allah umpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkainya mempunyai seratus biji benih yang lain, dan Allah melipatgandakan ganjaran (pahala) kebajikan kepada sesiapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (kurniaNYA) lagi Maha Mengetahui”

(Al-Baqarah: 261)


Kenangi Mereka.. Sayangi Mereka bertujuan untuk menyalurkan derma sedekah berbentuk pakaian Hari Raya kepada anak-anak yang kurang bernasib baik di kalangan komuniti Lembah Pantai.

Ibadah derma, sedekah dan seumpamanya yang memerlukan sedikit pengorbanan harta yang kita miliki mempunyai makna yang cukup besar kepada kanak-kanak ini.

Kanak-kanak yang dipilih ini adalah segelintir dari kanak-kanak yang terdiri daripada anak yatim, anak-anak yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kanak-kanak yang kurang upaya. Ini merupakan tahun ke-3 Puteri Lembah Pantai menganjurkan aktiviti meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik dari kalangan warga Lembah Pantai. Sumbangan derma adalah daripada individu yang sudi menderma.


Friday, September 5, 2008

Majlis Perasmian Bubur Lambuk Ramadhan Lembah Pantai

Foto:carkeyfoto

Sabtu, 6 September, 2008 jam 11 pagi
di Perkarangan Pejabat Umno Bahagian Lembah Pantai
Perasmian oleh Yg Bhg Datuk Seri Zulhasnan Rafiq,
Menteri Wilayah Persekutuan

Thursday, September 4, 2008

Foto: Puss

Saya pergi mengintai PARAM Bangsar semalam (Pasar Ramadhan). Rasanya macam kurang meriah tahun ini. Tahun-tahun lepas, berasak-asak lah dengan orang yang ramai macam semut hurung gula. Tahun ini, nampak agak lengang. Aikkk, lambat sangat ke aku ni? Kot orang semua dah habis melantak semua makanan? Rupanya, makanan masih ada lagi, tak banyak sangat, sikit pun tak.

Saya tanya kakak jual roti jala tu, "Kak, macam tak ramai je tahun ni?" Dia jawab, "Io lah, tak cam tahun lopeh...". "Apasal kak?". "Boreh naik, topung pun naik... semuanya naik lah, nak oiiii". Bukan main panjang lagi "oiiiiiiiiiii " dia tu. Saya sendiri pun tak beli banyak. Kalau dulu beli roti jala sampai sebakul, padahal makan 4 beranak sahaja, tahun ini cuma beli cukup-cukup sahaja. Tengok ayam percik dekat simpang tu pun dah naik harga. Nak marah, tak boleh, kerana dia pun cari makan jugak. Tak jadi beli ayam percik. Beli ayam goreng cukup. Anak-anak suka, biarlah kita lebihkan dia orang dari kita.

Walau apa pun, tidak terlambat jika saya mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua! Ingat-ingatlah hikmat berpuasa terutamanya bila rasa nak marah kerana harga barang makan naik.



HIKMAT-HIKMAT PUASA
Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya:


1. Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba - hambanya.
2. Melatih jiwa supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita.
3. Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.
4. Melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
5. Menanamkan semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan perpaduan.
6. Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung peritah Allah.
7. Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peaturan dan menghargai masa kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.
9. Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh badan dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.
10. Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh badan - terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.
11. Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana Bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul-Qadar dan Sembahyang Tarawih.

Wednesday, September 3, 2008

Negaraku, Tanah Tumpahnya Darahku!


Apakah erti Merdeka kepada saya?
Sumbangan dari Sangkar Emas, ahli Puteri Lembah Pantai melalui emel.


Bulan merdeka biasanya dikaitkan dengan pelbagai perasaan cintakan negara yang ada pada seseorang. Selalunya, pada bulan Ogos macam-macam aktiviti yang akan dibuat di Parlimen Lembah Pantai. Segala macam orang yang akan mencanang serta melaungkan rasa kecintaan terhadap negara. Anak-anak, budak sekolah, rakyat jelata juga tidak berbelah bahagi menyatakannya.

Apakah sebenar erti kemerdekaan seperti mana yang mereka sering ungkapan ketika tiba bulan kemerdekaan negara?

Mungkin ramai yang akan berkata ianya sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah.

Tetapi saya sendiri lupa pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu - bukan sengaja lupa tetapi terlupa. Maklumklah, sudah meninggalkan alam sekolah lebih puluhan tahun yang lepas.

Ada yang berpendapat bahawa pemahaman merdeka berlaku apabila minda kita bersih dari segala jajahan penyaluran informasi dari segi ikutan, budaya dan sosial. Itu dikatakan jiwa merdeka. Ramai juga yang katakan generasi muda sekarang ini lebih cenderung ke arah keseronokan serta tidak menampakkan semangat patriotik.

Hmmm...bagaimana agaknya untuk menampakkan semangat partiotik? Perlukah kibarkan bendera kecil dikenderaan? Perlukah melaungkan slogan-slogan kemerdekaan. Perlukan menyanyi-nyanyi lagu merdeka? Saya rasa kak perlu -bendera Malaysia selalu berkibar dalam hati. Disinilah tanah air saya. Tidak lain.

Orang kata kita lahir sudah mengecap kenikmatan yang diperjuangkan generasi yang terdahulu. Memang betul - saya lahir sekitar tahun 80an. Tak tau macamana rasa dijajah oleh British dan Jepun. So what? Kita tak rasa itu semua - tapi tahu yang kita tak boleh terima jika negara ini diperintah orang lain. Kita tetap berterima kasih kepada semua yang telah berkorban untuk memerdekankan negara ini.

Saya dan kawan-kawan saya akan sambut hari Merdeka di Dataran Merdeka. Kawan-kawan pejabat, Su Cheng Wah dan Samantha ak Antony Dass akan menyambut dengan perasaan bangga, penuh semangat, cintakan negara dan rendah diri pun ada. Pada detik 12 malam, kami semua sepakat yang kami sanggup berkorban untuk negara.

Itu sahaja cara yang kami tau untuk menyambut Hari Merdeka. Janganlah kata kita tak ada semangat nasionalisma sebab kita tak melaung-laungkanya. Janganlah rasa kita tak tau erti susah semata-mata kerana kami lahir selepas Merdeka. Janganlah anggap kami jahil kerana menyambut hari Merdeka di Bukit Bintang. Janganlah cakap kami tidak pelihara maruah negara kerana kami tidak seperi kamu.

Saya bukan orang politik. Saya juga bukan seorang penulis, cuma tahu apa yang kami, generasi muda, mahukan. Kami mahukan apa yang kamu mahu juga - negara yang aman, rakyat yang maju, kerja yang baik, negara yang bersih, rakyat yang cekap dan amanah, dapat membesarkan anak-anak dengan selesa, rakyat yang rajin, berkebolehan dan segala apa yang terbaik untuk negara ini.



MERDEKA! MERDEKA ! MERDEKA!