
Oleh: Selendang Pink, Baju Putih
Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) - UMNO dan MCA sibuk mengadakan pemilihan. MCA dah pun sudah. Waktu UMNO melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, MCA pula dalam diam-diam sudah sampai ke peringkat bahagian. Rasanya, pemilihan dalam MCA tidaklah seriuh pemilihan dalam UMNO kerana proses pemilihan MCA berjalan begitu pantas.
Selesai peringkat Cawangan langkah seterusnya ialah pemilihan Bahagian pada November ini.
Apa pun setiap sayap ada cara masing-masing. Begitu jugalah dengan Puteri UMNO. Mesyuarat peringkat cawangan telah berlangsung. Selepas tamat, banyak cerita yang didengar. Ada mesyuarat yang terpaksa dibatal kerana tidak cukup korum, ada Puteri cawangan yang tiba-tiba tubuh, beberapa cawangan tidak ada penyata tahunan dan ada juga Ketua Puteri Cawangan yang tidak tahu bahawa mesyuarat cawangan sudah berlangsung. Kenapa jadi begitu?
Isu ini sepatutnya diberi perhatian kerana ia melibatkan kerja-kerja pentadbiran dalam parti di peringkat cawangan yang menjadi suara akar umbi parti. Adakah cawangan sekadar ada pada nama bagi 'menguatkan' kepentingan individu-individu yang bertanding di peringkat bahagian? Di mana peranan badan induk yang diketuai oleh Puteri bahagian atau setidak-tidaknya setiausaha bagi memantau perjalanan cawangan-cawangan ini? Mungkinkah disebabkan musim pemilihan maka timbul perkara-perkara begini? Isu seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya amat besar kepada Puteri.
Justeru, pemimpin sama ada di peringkat cawangan dan bahagian janganlah terlalu ghairah merebut jawatan sebaliknya memperbetulkan dahulu kelemahan yang berlaku. Pastikan ahli-ahli di peringkat cawangan ini benar-benar kuat dan bersedia 'memulihkan' parti lebih-lebih lagi kawasan Lembah Pantai yang jatuh ke tangan pembangkang.
Keghairahan merebut jawatan nampaknya tidak dapat dibendung lagi. Kebanyakan bahagian di Wilayah Persekutuan termasuk di Lembah Pantai telah berlaku pertandingan. Dan lebih mendukacitakan kononnya wang sudah pun 'turun' di peringkat bawah dengan cara tersendiri supaya ia sukar dikesan oleh pihak berkenaan. Malahan belum pun mesyuarat cawangan berakhir, sudah ada ramalan mengatakan ketua itu bakal menang tanpa bertanding atau akan dicabar. Turut menarik perhatian khabarnya senarai kumpulan tujuh (G7) yang akan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sudah pun tersedia sedangkan mesyuarat cawangan baru berakhir. Semua ini gara-gara keghairahan menjelang pemilihan di peringkat pusat yang akan berlangsung Disember nanti.
SPBP tidak hairanlah pemimpin yang berhasrat bertanding di peringkat Exco Puteri UMNO Malaysia juga ghairah melobi untuk bertanding. Ini dapat dilihat apabila ramai yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua & Naib Ketua Puteri UMNO. Itu pun masih ada yang belum membuat keputusan sama ada mahu menawarkan diri atau tidak. Mungkinkah keghairahan ini berlaku kerana mereka juga mengintai peluang untuk sama-sama berada dalam proses peralihan kuasa yang akan berlaku pada 2009? Sedikit sebanyak itu juga menjadi faktornya. Sudah nampak kekosongan yang ada jika Timbalan Presiden, Najib Tun Razak mengisi tempat yang akan ditinggalkan oleh Presiden.
Di Bahagian pula, yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua dan Naib hendaklah benar-benar yakin mampu memikul tanggungjawab dengan baik, bukan sekadar melihat kelebihan jawatan. Memang demokrasi tidak menghalang pertandingan tetapi kadang-kala pertandingan perlu dielakkan lebih-lebih lagi bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar. Dalam hal ini fikirkanlah sama ada mengukur baju di badan sendiri lebih baik atau membiarkan orang lain mengukur baju di badan kita. Tetapi jangan pula apabila membiarkan orang mengukur baju di badan kita, kita terpaksa membayar upah yang mahal sekalipun ukurannya nanti menjadikan baju yang dipakai itu longgar, tidak padan dan tidak selesa dengan badan. Beringat-ingatlah, ye? Buatlah pilihan yang bijak.